fbpx

Negara ASEAN perlu tangani ancaman siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Negara-negara ASEAN berdepan cabaran serius dalam menangani ancaman siber yang semakin kompleks, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi digital dan peningkatan penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor kritikal.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Agil Alsagoff, peningkatan kes serangan siber seperti ransomware, pencurian data dan gangguan terhadap infrastruktur kritikal termasuk sistem bekalan elektrik dan keselamatan penerbangan kini menjadi kebimbangan utama di rantau ini.

“Dengan lebih 650 juta penduduk dan lonjakan penggunaan teknologi digital, ASEAN menjadi sasaran mudah jenayah siber.

“Malah, kerugian global akibat jenayah siber dijangka mencecah USD10.5 trilion setahun pada tahun ini,” katanya.

Syed Agil.

Beliau turut memetik insiden serangan WannaCry 2017 dan beberapa kes besar kebocoran data yang melibatkan institusi di Malaysia, Indonesia dan Singapura, sebagai bukti bahawa keselamatan siber wajar diberi perhatian mendesak.

Syed Agil berkata, kerjasama serantau melalui platform seperti ASEAN Regional Forum (ARF), SOMTC, dan ASEAN-Japan Cybersecurity Capacity Building Centre perlu diperluas, termasuk dalam aspek latihan bersama, pemerkasaan dasar, serta pembangunan kepakaran teknikal.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha tersebut berdepan cabaran besar, termasuk jurang infrastruktur keselamatan siber di negara membangun seperti Laos dan Kemboja, kekurangan pakar ICT, serta perbezaan undang-undang dan dasar siber antara negara anggota.

“Jurang literasi digital di luar bandar juga menyebabkan rakyat mudah terdedah kepada penipuan atas talian seperti ‘phishing’ dan malware. Ramai tidak menyedari bahaya sehingga mereka menanggung kerugian besar,” jelasnya.

Selain itu, kebergantungan terhadap syarikat teknologi asing dan kemungkinan campur tangan serangan siber yang disokong entiti negara luar turut menambahkan risiko terhadap keselamatan politik dan ekonomi serantau.

“Contoh paling membimbangkan ialah serangan siber terhadap sistem air di Singapura pada 2021 serta pencerobohan ke atas institusi kerajaan di Vietnam, Filipina dan Malaysia yang dikaitkan dengan komplot jenayah rentas negara,” katanya lagi.

Sebagai penyelesaian, Syed Agil mencadangkan supaya ASEAN meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur keselamatan siber, melatih lebih ramai pakar, menggubal undang-undang perlindungan data yang ketat serta memperluaskan kempen kesedaran awam.

“Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat adalah kunci kejayaan untuk menjamin keselamatan siber ASEAN secara menyeluruh,” tegas beliau. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI