KETUA jurulatih skuad bawah 23 negara (B-23), Nafuzi Zain percaya semua 23 pemain yang dibawa ke Jakarta, Indonesia sudah bersedia untuk melakar sejarah baharu buat pasukan nanti menjelang Piala Asean B-23 2025 yang akan bermula esok.
Menurut Nafuzi, barisan pemain perlu bersedia khususnya daripada aspek mentaliti memandangkan ini adalah ujian pertama buat pasukan selain jangkaan tinggi daripada peminat bola sepak tanah air.
“Selepas berakhirnya saingan Elite Games dan kemudian beberapa siri perlawanan pemanas badan, saya sudah membuat keputusan untuk membawa 23 pemain terbaik ke Jakarta.
“Bagi situasi sekarang, mereka adalah yang terbaik dan saya percaya mereka ada keyakinan tinggi yang menjadi aspek utama.
“Kita sedar kita tidak berada dalam kumpulan yang mudah dengan pertemuan menentang tuan rumah, Indonesia akan menjadi tumpuan. Namun, saya harap pemain dapat kekalkan fokus agar sasaran dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Sementara itu, penyerang muda negara, Aliff Izwan Yuslan percaya hubungan yang akrab antara semua pemain menjadi kunci kekuatan pasukan dalam usaha untuk mencipta kejutan di bumi Indonesia nanti.
“Kekuatan kami adalah bonding (hubungan akrab). Bagi saya bonding tu paling penting dalam bola sepak sebab kalau tiada ada bonding, susah kita nak main bola dalam satu pasukan,” kata penyerang Selangor FC itu.
Sebagai rekod, skuad negara tidak pernah bergelar juara saingan Piala Asean B-23 sejak dianjurkan buat kali pertama pada 2005 dengan pencapaian terbaik di kedudukan keempat pada edisi sulung dan 2023.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sasaran spesifik pada kejohanan kali ini tetapi Nafuzi meletakkan hasrat untuk mara sekurangnya di pentas separuh akhir.