MANCHESTER – Manchester United berdepan krisis awal musim selepas penjaga gol utama, Andre Onana disahkan terlepas keseluruhan aksi pramusim Jelajah Amerika Syarikat (AS) akibat kecederaan hamstring.
Penjaga gol berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan awal minggu ini di Carrington dan dijangka berehat sehingga lapan minggu.
Situasi itu turut menjejaskan persiapannya menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal pada 17 Ogos nanti, sekali gus meletakkan pengurus, Ruben Amorim dalam dilema besar.
“Kecederaan ini memang sukar diterima, lebih-lebih lagi bila musim baharu semakin hampir. Saya hanya mahu fokus untuk pulih dan kembali lebih kuat,” kata Onana.
United kini sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk penjaga gol baharu dengan beberapa nama dikaitkan termasuk bintang Aston Villa, Emiliano Martinez dan John Victor dari Botafogo.
Bagaimanapun, nilai perpindahan Martinez dilaporkan terlalu tinggi, manakala Onana sendiri sukar untuk dijual ketika ini memandangkan dia dalam fasa pemulihan, biarpun United sanggup melepaskannya pada harga sekitar £30 juta (RM171 juta).
Onana sebelum ini pernah digugurkan Amorim selepas dua kesilapan dalam Liga Europa menentang Lyon, tetapi kembali menjadi pilihan utama selepas itu.
The Red Devils akan membuka aksi pramusim menentang Leeds United di Stockholm sebelum berlepas ke AS bagi bertemu West Ham, Bournemouth dan Everton. – AGENSI