PETALING JAYA – Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke New Zealand adalah bagi memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Ahmad Zahid berkata, lawatan selama lima hari bermula hari ini merupakan kesinambungan usaha strategik hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.
Jelasnya, kunjungan itu juga mencerminkan komitmen bersama dalam meneruskan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.
“Saya berharap siri lawatan ini akan memperkukuh lagi hubungan diplomatik sedia ada, memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, dan mempromosi kepentingan nasional Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah, semoga misi ini membawa manfaat kepada rakyat dan negara. Teruskan mengikuti perkembangan lawatan kerja saya dari semasa ke semasa,” katanya pada hantaran di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, pada hantaran itu, beliau memberitahu kunjungan deligasi Malaysia itu telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki dan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Asia dan Amerika Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand Grahame Morton.
Turut serta, Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Selatan dan Asia Tenggara MFAT, Joanna Kempkers serta delegasi Exco Luar Bandar dari negeri Selangor, Pahang, Johor dan Melaka.
Terdahulu, Marzita dalam kenyataan semalam memaklumkan, pengisim lawatan Timbalan Perdana Menteri itu termasuk pertemuan dengan pemimpin tertinggi New Zealand pada 16 dan 17 Julai di Wellington.
Selain itu katanya, Ahmad Zahid dijangka bertemu Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro dan Timbalan Perdana Menteri New Zealand David Seymour, Menteri Luar Winston Peters, Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka dan Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan Todd McClay.
Lawatan itu juga merangkumi penyertaan Ahmad Zahid selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dalam Forum Halal anjuran bersama Kementerian Industri Utama New Zealand dan menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan New Zealand dalam kerjasama pendidikan tinggi.
“Selain itu ia turut melibatkan sesi libat urus bersama pemimpin industri dan perniagaan New Zealand termasuk Majlis Perniagaan ASEAN New Zealand dan Perbadanan Perusahaan dan Perdagangan New Zealand,” katanya.-KOSMO! ONLINE