KANGAR – Seni kraf berasaskan rotan hasil tangan penduduk Kampung Sempering, di sini, memiliki potensi besar untuk dipasarkan secara lebih meluas termasuk ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli berkata, usaha itu digerakkan melalui pelaksanaan Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Anyaman Rotan secara berfasa yang bermula sejak Disember lalu, di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK).
“Latihan seumpama ini mampu melahirkan komuniti kraf luar bandar yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah bersedia menjadi usahawan kraf berdaftar.
Beliau berkata demikian bersempena Majlis Penutupan PPKK Anyaman Rotan Fasa 3 Kampung Sempering di Masjid Al-Amin, baru-baru ini.
Program ini di bawah inisiatif program Satu Pemimpin Satu Kampung, atau Santuni Madani itu dikendalikan oleh Kraftangan Malaysia bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan sokongan komuniti setempat.
Latihan dijalankan secara berfasa merangkumi kemahiran asas menghasilkan produk seperti alas pinggan, bakul kecil dan cawan rotan dalam Fasa 1, disusuli penghasilan tudung saji rotan dalam Fasa 2.
Fasa 3 yang berlangsung dari 7 hingga 10 Julai 2025 pula memberi penekanan terhadap rekaan dan inovasi produk bakul dobi rotan bagi menepati cita rasa pasaran moden.
Menurut `Ainu Sham, Kraftangan Malaysia akan terus membimbing peserta yang menunjuk-kan komitmen tinggi agar mereka dapat menyertai pameran perdagangan serta platform e-dagang di bawah agensi itu.
“Kami menyasarkan agar peserta bukan sahaja dapat menjana pendapatan isi rumah, tetapi juga menjadi ejen perubahan sosio ekonomi di kampung mereka.
“Malahan, komuniti itu sendiri boleh mengambil peluang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berjalan serentak dengan Tahun Melawat Perlis untuk memasarkan produk kraf kepada pelancong,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan swasta menjadi kunci penting dalam membina komuniti berasaskan kraf yang mampan di Negeri Perlis.
Majlis penutup turut diserikan dengan pameran hasil produk anyaman rotan oleh peserta, selain penyerahan sijil penyertaan kepada mereka yang berjaya menamatkan ketiga-tiga fasa program tersebut. -KOSMO! ONLINE