KLUANG – Sebanyak 672 kes konflik gajah dan manusia yang direkodkan sepanjang lima tahun menjadi kayu ukur penubuhan pasukan khas Operasi Bersepadu Translokasi Gajah di negeri ini.
Melalui operasi ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan berganding bahu dengan penduduk untuk mengambil langkah mengawal kemasukan ‘abang besar’ ke kawasan kediaman atau tanaman penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, mengikut rekod, Kluang menjadi daerah tertinggi membabitkan 229 aduan sejak 2020 hingga 2024, diikuti Mersing 223 aduan dan masing-masing 164 dan 56 kes di Kota Tinggi serta Segamat.
Nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM1 juta.
Pada 2024, sebanyak 105 aduan diterima pihak Perhilitan berlaku di Kluang, diikuti 66 aduan di Kota Tinggi, Mersing (53) dan Segamat (21).
“Pasukan khas ini dianggotai sekurang-kurangnya lima Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Perhilitan sebagai pasukan taktikal yang akan membantu sekiranya diperlukan.
“Antara peralatan yang dibekalkan ialah lampu suluh khas dan meriam yang mengeluarkan bunyi tembakan apabila menyedari ada gajah masuk kawasan kediaman mereka,” katanya selepas Majlis Perasmian Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor di Dewan Datuk Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong di sini semalam. – KOSMO! ONLINE