ANKARA – Sekurang-kurangnya tiga orang maut termasuk seorang bayi berusia tiga bulan dalam tragedi kebakaran di sebuah pangsapuri 26 tingkat di ibu kota Turkiye, Ankara, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Api marak dengan pantas, menyebabkan penghuni yang panik dan tidak berdaya terperangkap.
Seramai 20 orang dikejarkan ke hospital dengan seorang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Kebakaran bermula di tingkat empat bangunan pangsapuri itu kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan) sebelum merebak ke seluruh kompleks tersebut.
Anggota bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk memadamkan kebakaran yang marak.
Media tempatan melaporkan, 39 orang mengalami sesak nafas akibat terhidu asap, termasuk tujuh anggota bomba.
Pendakwa raya melancarkan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran. – AGENSI