SHAH ALAM – Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai mengakui terkesan melihat tangisan anggota kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal yang menitiskan air mata dalam sebuah sidang media baru-baru ini.
Disebabkan itu juga, Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 50, tidak berfikir panjang untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kumpulan itu.
“Sudah tentu saya terkesan melihat dia menangis sebab kita sudah kenal lama. Saya tidak berfikir panjang untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana saya tiada hasad dengki ataupun ‘vibe’ negatif dalam percakapan saya sebelum itu.
“Mungkin ada yang terasa, disebabkan itu lebih baik saya minta maaf. Tiada masalah untuk saya minta maaf sebab tiada dendam,” katanya ketika ditemui di konsert minggu keempat Raise The Star Malaysia, di sini, semalam.
Tindakan Ajai yang juga merupakan anggota kumpulan Exists mendapat respons baik daripada netizen sehingga ramai menyifatkannya seorang anak seni yang profesional.
“Saya tak pernah anggap diri saya lebih hebat dengan memohon maaf. Apa yang saya fikir, mungkin kawan saya sudah terasa hati. Saya tak mahu disebabkan pendapat saya menjadikan hubungan kami sesama artis tidak ‘sedap’.
Ditanya adakah dia ada berhubung dengan AC selepas kejadian tersebut, kata Ajai tiada sebarang komunikasi yang berlaku.
“Kami tidak berhubung. Kalau isu ini tidak berlaku pun, kalau terjumpa kami macam biasa sahaja. Tak adalah berhubung setiap hari,” ujarnya.
Sebelum ini AC Mizal menerusi satu sidang media khas meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Ajai yang mendakwa konsert 4U2C tidak boleh dianjurkan tanpa kebenaran pemilik lagu.
Susulan itu, beliau menerusi peguamnya menuntut Ajai memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau berdepan tindakan undang-undang.
Kontroversi tercetus apabila penerbit Man Senoi dan isteri, Mama Rap, mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert We 4U2C Live In Concert, sedangkan mereka merupakan pemegang hak cipta lagu kumpulan terbabit. – KOSMO! ONLINE