ROM – Sebuah kapal yang membawa 15 aktivis pro-Palestin dan bantuan kemanusiaan meninggalkan pelabuhan Syracuse di Sicily, Itali semalam menuju ke Gaza.
Seorang wartawan AFP melihat kapal Handala yang dikendalikan oleh pertubuhan Freedom Flotilla Coalition meninggalkan pelabuhan itu sejurus selepas pukul 12 tengah hari (waktu tempatan).
Sebelum belayar, sejumlah orang mengibarkan bendera Palestin, manakala sebahagian lagi memakai selendang keffiyeh ketika mereka berkumpul di pelabuhan dengan melaungkan slogan ‘Bebaskan Palestin.’
Bekas kapal pukat tunda dari Norway yang sarat dengan bekalan perubatan, makanan, peralatan kanak-kanak dan ubat itu akan belayar selama kira-kira seminggu di Laut Mediterranean.
Ia meliputi jarak kira-kira 1,800 kilometer dengan harapan untuk sampai ke pantai Gaza.
Kapal itu akan berhenti di Gallipoli, tenggara Itali, di mana dua ahli parti berpendirian keras Perancis, Parti France Unbowed (LFI) dijangka menyertainya.
“Ini adalah misi untuk kanak-kanak di Gaza bagi menamatkan sekatan kemanusiaan dan untuk memecahkan kesunyian musim panas berhubung pembunuhan beramai-ramai,” kata Gabrielle Cathala. Dia merupakan salah seorang daripada dua ahli LFI yang akan menaiki kapal tersebut.
Inisiatif itu berlaku enam minggu selepas kapal membawa misi bantuan, Madleen meninggalkan Itali menuju ke Gaza dengan membawa aktivis politik dan iklim, Greta Thunberg.
Namun, pihak berkuasa Israel memintas Madleen kira-kira 185 kilometer ke barat pantai Gaza dan menahan kesemua aktivis di atas kapal tersebut.
Sejak awal Mac lalu, Israel mengenakan sekatan penuh ke atas Gaza di tengah-tengah kebuntuan dalam rundingan gencatan senjata tetapi kemudian melonggarkannya sedikit pada akhir Mei lepas. – AFP