fbpx

‘Kami hulur kayu panjang tapi Zaim gagal capai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba membawa turun mayat Zaim Ikhwan (gambar kecil) yang ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Bukit Dinding, Sungai Badak, Gurun kelmarin.

SUNGAI PETANI – “Kami cuba hulur kayu panjang tetapi Zaim tak dapat capai, dia tenggelam sebelum ditemui sudah tidak bernyawa.”

Demikian cerita rakan kepada Allahyarham Zaim Ikhwan Mohd Fauzi, 24, yang meninggal dunia akibat lemas di kawasan Air Terjun Bukit Dinding, Sungai Badak di Gurun semalam.

Menurut rakan arwah yang enggan dikenali, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi  dan pendakian ke kawasan tersebut melibatkan dirinya bersama Zaim dan dua rakan yang juga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) serta empat ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang.

“Kami ke sana untuk meninjau laluan serta mencari lokasi sesuai bagi penganjuran aktiviti riadah yang bakal diadakan dua minggu lagi.

“Semasa berehat, seorang rakan lelaki dari UniSHAMS turun berendam di bahagian tepi kolam sebelum diikuti seorang rakan perempuan dari ABIM, namun tiba-tiba kedua-duanya dilihat terkapai-kapai sebelum berjaya diselamatkan Zaim Ikhwan dan beberapa pengunjung lain,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, selepas berjaya menarik kedua-dua mangsa ke tebing, arwah yang ketika itu berada di tengah kolam dilihat mengalami kesukaran untuk mengawal diri dan mula tenggelam timbul.

“Saya bersama beberapa rakan kemudian mencari kayu panjang dan menghulurkannya kepada Zaim namun dia tidak mampu mencapainya sebelum tenggelam ke dasar kolam,” ujarnya.

Katanya, dia dan rakan kemudian meminta pertolongan daripada pengunjung lain yang terjun ke lokasi arwah tenggelam dan berjaya membawanya naik ke atas, namun mangsa didapati sudah tidak bernyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI