LONDON – Bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson bakal kembali mewarnai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila bersetuju menyertai Brentford selepas meninggalkan Ajax secara persetujuan bersama minggu lalu.
Menurut laporan, bekas kapten Liverpool itu dijangka menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Langkah itu dibuat susulan pemergian kapten Brentford, Christian Norgaard ke Arsenal sekali gus membuka ruang untuk Henderson mengisi kekosongan di bahagian tengah.
“Henderson mungkin sudah berusia 35 tahun, tetapi dia membawa karakter, pengalaman dan kawalan permainan yang sangat kami perlukan,” kata sumber kelab.
Henderson yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara dan EPL bersama Liverpool serta memiliki 84 kaps bersama England, dijangka membawa kestabilan penting kepada skuad baharu bimbingan Keith Andrews.
Secara statistik, gaya permainan Henderson dan Norgaard hampir serupa dari segi kawalan ruang tengah dan pertahanan, namun Henderson lebih menyerlah apabila mencipta lebih banyak peluang dan jaringan bersama Ajax pada penghujung musim lalu.
Perpindahan Norgaard ke Emirates menamatkan tempoh enam tahunnya bersama Brentford sejak tiba dari Fiorentina pada 2019 dan dia menjadi tunjang utama di bawah Thomas Frank yang turut meninggalkan kelab untuk melatih Tottenham. – AGENSI