LONDON – Impian Arsenal untuk menamatkan perpindahan saga membeli penyerang idaman, Viktor Gyokeres akhirnya semakin hampir direalisasikan apabila bersetuju dengan permintaan harga ditetapkan Sporting Lisbon.
Difahamkan, The Gunners telah bersetuju untuk membayar €63.5 juta (RM315.89 juta) tetapi masih berunding dengan Sporting mengenai bonus-bonus tambahan berkaitan prestasi dianggarkan €15 juta (RM74.62 juta).
Ia bermakna urusan perpindahan mendapatkan penyerang Sweden berusia 27 tahun itu mencecah nilai keseluruhan berjumlah €80 juta (RM397.97 juta).
Kem Gyokeres terutama ejennya, Hasan Cetinkaya dikatakan sanggup tidak menerima komisyen 10 peratus daripada nilai keseluruhan bagi membolehkan Sporting menerima jumlah lebih besar seperti dimahukan kelab itu.
Ini bermakna hajat Presiden Sporting, Frederico Varandas untuk meraih keuntungan €63 juta (RM313.40 juta) daripada hasil penjualan Gyokeres berjumlah €70 juta (RM348.22 juta) bakal menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, buat masa ini masih belum ada sebarang kepastian sama ada perpindahan itu sempat diselesaikan sebelum Arsenal menghadapi kempen pramusim Jelajah Asia.
Arsenal akan menentang Watford dalam perlawanan tertutup di London beberapa jam sebelum terbang ke Singapura menentang AC Milan (23 Julai), Newcastle United (2 Julai) dan Tottenham Hotspur pada 31 Julai nanti.
Skuad bimbingan Mikel Arteta akan berdepan Villarreal (7 Ogos) dan Athletic Club (10 Ogos) dalam dua aksi persahabatan sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United pada 17 Ogos. – AGENSI