NEW JERSEY – Chelsea melakar kejutan selepas menjulang kejuaraan Piala Dunia Kelab (CWC) apabila membenam cabaran Paris Saint-Germain 3-0 pada aksi final di Stadium MetLife awal pagi tadi sekali gus muncul pemenang sulung saingan dengan format baharu tersebut.
Pada perlawanan di Stadium MetLife itu, skuad The Blues melakar kejutan walaupun dilabel status underdog hasil penyudah berganda Cole Palmer dan satu lagi gol menerusi jaringan penyerang baharu, Joao Pedro.
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea merangkul trofi kedua pada musim ini selepas turut bergelar juara Liga Konferens Eropah pada Mei lepas.
Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mengakui tempoh 10 minit pertama permainan menjadi penentu bahawa pasukan itu mampu menjulang kejuaraan apabila berjaya menetapkan tempo aksi serta menutup semua gerakan yang dilakukan oleh PSG.
“Saya rasa kemenangan ini hasil tumpuan penuh pemain kerana saya lihat kita hanya perlukan 10 minit pertama untuk bergelar juara. Pemain tahu taktikal dan strategi yang kita atur dan kekalkan hingga tamat perlawan.
“Kini, saya memberikan semua pemain cuti rehat selama tiga minggu sebelum mengharungi musim baharu pada bulan depan,” katanya.
Sementara itu, Palmer yang berjaya meledak dua gol mengakui puas dengan kemenangan tersebut apabila ia sekali gus menutup mulut pengkritik yang mempersoal kemampuan Chelsea pada aksi final dan ramai yang menjangkakan mereka bakal tewas dengan jaringan besar berdepan PSG. – KOSMO! ONLINE