PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan rasa syukur dengan keadaan terkini Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 7, yang pernah menjalani pembedahan kanser mulut apabila dilihat semakin ceria dan baik.
Bapa kanak-kanak itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 30, memuat naik beberapa keping gambar terkini Ainul Mardhiah ketika menyertai aktiviti perkhemahan bersama keluarga.
“Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah. Ainul dan camping. Dunia dia di sini,” katanya menerusi kapsyen di Facebook.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai lebih-lebih lagi yang tertanya-tanya mengenai perkembangan kanak-kanak perempuan tersebut.
“Adik yang pernah viral (tular) satu ketika dulu. Dah besar sekarang. Semoga sihat selalu dik,” kata Wadie Die.
“Besar dah anak ‘online’ kami. Semoga terus sihat ya adik,” ujar Cik Mawar Su.
“Teringat waktu Ainul bayi dulu. Sedih tengok ketumbuhan yang semakin besar. Paling sedih bila tengok gambar adik Ainul pegang ketumbuhan kat mulut. Moga membesar dengan sihat dan menjadi seorang yang berjaya di dunia dan akhirat adik Ainul,” komen Farah Syahirah Fadzil.
Pada 2019, Ainul Mardhiah yang ketika itu berusia sembilan bulan selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di mulut di sebuah hospital di London.
Ketumbuhan pada mulut itu mula membesar sejak Ainul Mardhiah dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram.
Ia berjaya dibuang oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik diterajui oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof. David Dunaway.
Pembedahan itu turut disertai oleh pelatih pakar bedah yang juga pempengaruh, Dr. Nur Amalina Che Bakri. – KOSMO! ONLINE