PETALING JAYA – Suasana di Tasik Putrajaya pagi tadi bertukar menjadi ‘pesta rakyat’ apabila ribuan orang membanjiri kawasan rekreasi itu bagi menyertai acara ‘Picnic and Potluck bersama Tun Dr. Mahathir 100 tahun’.
Menerusi beberapa perkongsian video di TikTok, pelbagai lapisan masyarakat dilihat mula memenuhi pekarangan tasik sekitar pukul 6 pagi dengan membawa tikar, makanan serta ada yang memegang belon bertulis ucapan hari jadi buat negarawan ulung itu.
Kehadiran Dr. Mahathir bersama isteri, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali di lokasi disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh oleh penyokong setia bekas Perdana Menteri itu.
Acara yang dianjurkan secara santai itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuklah memperlihatkan Dr. Mahathir mengayuh basikal mengelilingi Tasik Putrajaya.
Sementara itu, antara komen yang ditinggalkan orang ramai di media sosial berkaitan acara tersebut adalah rata-ratanya teruja dapat bersua muka meraikan ulang tahun ke-100 Dr. Mahathir.
“Tun Mahathir adalah simbol keteguhan dan semangat juang. Kami mahu anak-anak kenal siapa beliau dan menghargai jasa pemimpin yang membina negara,” kata Asyikin.
“Seronok dapat berkelah bersama Tun M pagi ini. Pukul 4 pagi lagi dah kejut anak-anak untuk bersiap gerak dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Singgah solat di masjid sana, terus terpacak tunggu Tun M di Tasik Putrajaya. Terima kasih penganjur,” komen Nurain.
Terdahulu, Dr. Mahathir menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada 10 Julai lalu, sekali gus mencatat sejarah sebagai bekas Perdana Menteri tertua yang masih hidup.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, beliau mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri keempat pada 16 Julai 1981 dan mencatat rekod sebagai pemimpin paling lama mentadbir negara, iaitu selama 22 tahun.
Pada tahun 2018, selepas gabungan politik pimpinannya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr. Mahathir kembali menerajui negara sebagai Perdana Menteri ketujuh.- KOSMO! ONLINE
@aisyahsweet2020 Tun M masih kuat alhamdulilah 100tahun. Happy brday Tun M #tunmahathirmohammad ♬ original sound – kino – KisunA