PETALING JAYA – Kemalangan membabitkan lima buah kenderaan dilaporkan berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) kira-kira pukul 11.21 pagi semalam, dipercayai akibat pemanduan terlalu rapat antara satu sama lain.
Menerusi satu rakaman papan pemuka (dashcam) yang dikongsikan pengguna Facebook, Saranraj TamilSalvan, kelihatan keretanya sempat mengelak daripada merempuh deretan kenderaan yang sudah berlanggar di hadapan selepas menekan brek pada saat akhir.
“Sempat tekan brek pada saat akhir, elak daripada terbabit dalam pelanggaran lima buah kereta,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata netizen terkejut dengan kejadian kemalangan tersebut.
“Adui Saga sodok.. mujur tak terbalik Honda CRV tu,” kata Azeo Trop.
“Saga langgar CRV sampai melambung,” komen Supaat Mahnoon.
Sementara itu, ada juga yang menyalahkan sikap pemandu yang terlibat dalam kemalangan kerana memandu terlalu laju dan tidak menjaga jarak dengan kenderaan di hadapan.
“Nampak sangat semua bawa laju dan terlalu rapat. Siapa suruh cucuk begitu rapat,” kata seorang pengguna.
“Banyak kereta di lorong kanan suka brek mengejut padahal depan kosong,” komen Muhd Hanafi.
“Jaga jarak bukan bermaksud orang tu bawa perlahan… ini lah akibatnya kalau ikut rapat sangat,” ujar seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE