KUANTAN – Seekor tapir jantan dianggarkan seberat kira-kira 300 kilogram mati selepas dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer 35 Jalan Kuantan–Kemaman, dekat Cherating, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, haiwan liar dilindungi berkenaan dipercayai melintas jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang datang dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud, berkata pemandu kenderaan terbabit yang merupakan lelaki tempatan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan dari Balai Polis Cherating telah pergi ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kuantan.
“Mereka menjalankan kawalan lalu lintas di kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, bangkai tapir tersebut kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, lokasi kejadian merupakan kawasan lintasan semula jadi bagi spesies tapir yang sering berkeliaran dari hutan berhampiran terutama pada waktu malam. – KOSMO! ONLINE