fbpx

SWCorp, Alam Flora diarah ‘cuci’ Jalan Gallagher – DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Agensi SWCorp dan Alam Flora telah diarahkan meningkatkan tahap serta kekerapan kerja-kerja pembersihan. Gambar Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak pantas dan menyeluruh susulan teguran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung isu kebersihan di sepanjang Jalan Gallagher yang mencetuskan kebimbangan berkaitan sampah sarap, saliran tersumbat serta gangguan monyet liar.

Sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab, DBKL menjunjung titah baginda dan segera mengatur tindakan komprehensif dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk SWCorp, Alam Flora serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut kenyataan DBKL, SWCorp dan Alam Flora telah diarahkan meningkatkan tahap serta kekerapan kerja-kerja pembersihan.

Katanya, lokasi kutipan sampah sementara yang dikenal pasti sebagai punca kekotoran dan tarikan haiwan liar turut ditutup serta-merta.

“Antara tindakan yang diambil termasuk pencucian longkang, pemotongan rumput, pemangkasan dahan, penyingkiran semak serta pencucian jalan bagi mewujudkan persekitaran bersih dan selamat.

“Dalam usaha memperkemas pengurusan sisa pepejal, DBKL turut menggantikan tong sampah sedia ada dengan yang lebih kukuh dan tahan gangguan haiwan.

“Setiap kediaman juga akan dibekalkan dengan tong individu bagi memudahkan kutipan secara terus dari rumah ke rumah sekali gus mengurangkan pendedahan sisa yang menarik kehadiran haiwan liar,” menurut kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, bagi menangani gangguan monyet liar yang semakin meruncing, DBKL bekerjasama rapat dengan Perhilitan yang sebelum ini telah memasang perangkap di beberapa lokasi termasuk kawasan tong sampah, kediaman pegawai tinggi kerajaan dan sekitar Istana Negara.

Katanya, pemasangan perangkap baharu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan pemantauan lebih rapi.

“Selaras dengan titah Seri Paduka Baginda, kerja-kerja pemangkasan pokok serta penambahbaikan landskap turut dilaksanakan di sepanjang Jalan Gallagher bagi memperindah imej kawasan dan menjamin keselamatan awam.

“DBKL merafak sembah dan menjunjung kasih atas keprihatinan Baginda Tuanku dan menegaskan komitmennya untuk terus memastikan kebersihan, kesejahteraan serta keselesaan warga kota menjadi keutamaan melalui pemantauan berterusan dan tindakan segera bersama agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menyertai aktiviti berjalan kaki sambil meninjau tahap kebersihan persekitaran di sekitar Jalan Gallagher, sejauh 3.2 kilometer.

Tinjauan mengejut pada awal pagi itu menyaksikan Seri Paduka Baginda sendiri menegur keadaan longkang yang tersumbat serta pembuangan sampah sarap di tepi jalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI