LENGGONG- Pelbagai pengiktirafan termasuk oleh Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berjaya membantu Lenggong meraih pulangan ekonomi dalam sektor pelancongan.
Berdasarkan rekod, kehadiran pelancong ke Lenggong meningkat mendadak sebanyak 280 peratus daripada hanya 24,770 orang pada 2022 kepada 114,182 pengunjung pada tahun lalu.
Dalam tempoh sama, pendapatan pemandu pelancong meningkat sebanyak 237 peratus, manakala pengusaha penginapan pula melonjak 145 peratus.
Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 dan lokasi Geopark Kebangsaan pada 2021. Kawasan itu kini dalam usaha mendapatkan status UNESCO Global Geopark.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengiktirafan tersebut memberi impak ketara terhadap landskap ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
“Ia membawa kesejahteraan ekonomi langsung kepada masyarakat luar bandar khususnya komuniti kampung tradisi dan Orang Asli yang kini makin aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan pelancongan, kraftangan, makanan tradisional dan homestay,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Sesi Penilaian Aspiring Lenggong UNESCO Global Geopark di sini malam ini. Turut hadir dua wakil penilai UNESCO, Dr. Mahito Watanabe dari Jepun dan Dr. Ahmet Serdar Aytac dari Turki.
Saarani berkata, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Induk Geopark Negeri Perak sebagai penyelaras dasar dan pelaksanaan bagi memastikan semua inisiatif dijalankan secara menyeluruh dan mematuhi standard UNESCO Global Geoparks.
Tambahnya, kerjasama antarabangsa turut dilibatkan seperti pertukaran pengetahuan dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Turki dengan satu tekad agar Lenggong terpahat di peta dunia sebagai UNESCO Global Geopark. – KOSMO! ONLINE.