PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung pendedahan dan penyebaran dokumen disyaki minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1973, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman dan juga di media sosial.
“PDRM akan memanggil semua saksi kompeten bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khalid berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendedahkan apa jua dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.
Justeru, katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat tersebut.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad mengesahkan menerima laporan polis berhubung perkara tersebut termasuk mengambil rakaman percakapan pengadu. – KOSMO! ONLINE