MADRID – Jalan-jalan digenangi air, manakala kenderaan tenggelam di sebilangan kawasan di Sepanyol ketika beberapa wilayah negara itu dilanda hujan lebat semalam, lapor akhbar The Sun UK.
Beberapa gambar yang dikongsikan di laman sosial menunjukkan kenderaan terkandas dalam air berwarna keruh ketika amaran ribut dan hujan batu dikeluarkan.
Hujan dengan taburan 100 milimeter turun dalam masa hanya sejam, menyebabkan Agensi Meteorologi Negeri (Aemet) mengaktifkan amaran cuaca untuk 25 wilayah, dengan lapan daripadanya berwarna jingga.
Agensi itu meramalkan amaran tahap jingga semalam untuk ribut teruk di Huesca, Teruel, Zaragoza, Barcelona, Girona, Lleida, Tarragona dan Castellon.
Aemet meramalkan taburan hujan sehingga 50 liter bagi setiap meter persegi di kebanyakan wilayah di Aragon dan Catalonia.
Agensi berita AFP melaporkan, dua orang hilang di Catalonia semalam selepas sebahagian besar wilayah timur laut Sepanyol itu dilanda hujan lebat, yang turut memaksa perkhidmatan kereta api ditangguhkan.
Sebuah hospital di Barcelona dinaiki air dan terpaksa menolak untuk menerima pesakit, jalan raya terhalang dan sebuah pesawat yang berlepas dari Barcelona ke Amerika Syarikat berpatah balik selepas muncungnya rosak akibat hujan batu.
Walaupun hujan melanda beberapa bahagian Sepanyol, tenggara negara itu dilanda haba ekstrem, di mana Murcia, Alicante, pedalaman Andalusia dan sebahagian Extremadura diramal mencatatkan suhu menghampiri atau melebihi 40 darjah Celsius. – AGENSI