DOHA – Rundingan gencatan senjata di Gaza terus menemui jalan buntu apabila Hamas dan Israel saling menuduh cuba menghalang usaha untuk mencapai perjanjian, selepas hampir seminggu perbincangan diadakan di Qatar.
Sumber Palestin yang mempunyai pengetahuan tentang rundingan itu memberitahu AFP bahawa cadangan Israel untuk mengekalkan tenteranya di Gaza menjadi penyebab utama kepada kebuntuan untuk mengadakan gencatan senjata selama 60 hari.
Menurutnya, keengganan Rejim Zionis untuk menerima tuntutan Hamas bagi pengunduran sepenuhnya tentera dari Gaza telah menghalang kemajuan dalam rundingan.
Sumber kedua berkata, pengantara telah meminta kedua-dua pihak menangguhkan perbincangan sehingga Utusan Khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, tiba di ibu negara Qatar, Doha.
Menurut sumber pertama, Israel bercadang untuk mengekalkan tenteranya di lebih 40 peratus kawasan Gaza serta mengusir ratusan ribu penduduk Palestin ke kawasan kecil berhampiran bandar Rafah, sempadan dengan Mesir.
“Delegasi Hamas tidak akan menerima pelan Israel kerana mereka pada dasarnya ‘menghalalkan’ pendudukan semula kira-kira separuh daripada Gaza dan menjadikan wilayah itu sebagai zon terpencil tanpa lintasan atau kebebasan bergerak,” kata sumber.
Sementara itu, di pihak Israel, seorang pegawai kanan politik menuduh Hamas tidak fleksibel dan sengaja cuba membatalkan perjanjian. – AFP