PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan meraikan kejayaan sambil menzahirkan sokongan dan pujukan kepada dua anakanda baginda yang mengalami nasib berbeza dalam perlumbaan kedua siri GT World Challenge Asia di Litar Fuji Speedway, Jepun, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor meneruskan prestasi cemerlang dengan kemenangan bergaya mendahului dari mula sehingga akhir bersama Ben Green dalam jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R #99.
Namun, nasib kurang baik melanda adindanya Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor dan Jordan Love (jentera #66) apabila kehilangan tempat ketiga di selekoh terakhir selepas dilanggar oleh pelumba lain dan tidak dapat menghabiskan perlumbaan.
“Begitulah adat pertandingan, menang kalah, manis dan pahit sebegini pasti dirasai setiap olahragawan. Sebagai ibu, saya tetap akan memberi sokongan dan mendoakan semoga anak-anak saya mencapai kejayaan serta bersaing dengan selamat, insya-Allah.
“Begitu juga saya titipkan kepada semua atlet-atlet negara, tanpa mengira bidang sukannya, semoga terus bersemangat dan memberikan yang terbaik dalam usaha bersaing mengharumkan nama negara kita.
“Semuanya kita serah kepada Allah SWT dan kita jangan lupa bahawa semua yang berlaku, rezeki atau sebaliknya, adalah kurniaan Allah SWT,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Litar Fuji Speedway di Jepun bagi menyaksikan perlumbaan siri GT World Challenge Asia yang bermula semalam.
Kehadiran Raja Zarith Sofiah ke litar tersebut bagi memberi sokongan kepada anakanda Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar yang mewakili pasukan JMR. – KOSMO! ONLINE