KUALA SELANGOR – Perbincangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah selesai 98 peratus setakat ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu penting bagi mengelak berlaku pertindihan kerusi yang bakal dipertandingkan kelak.
Katanya, ia selaras dengan hasrat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kerjasama dan perbincangan dilakukan.
“Itu yang kita sedang lakukan di Sabah. Secara umum saya boleh katakan BN-PH kini sudah 98 peratus dan hanya dua peratus belum belum selesai.
“Seperti biasa, kita (jentera) dari seluruh negara akan digerakkan untuk turun membantu pada PRN Sabah yang bakal berlangsung kelak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini, petang tadi.
Tambah Asyraf, kerjasama seumpama itu yang memungkinkan kemenangan besar di PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Ayer Kuning dan Nenggeri sebelum ini.
“Jadi, kalau Sabah kita boleh bekerjasama kerana tidak banyak kerusi bertindih, kenapa kita kita tidak teruskannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE