KUALA LANGAT – Persatuan perniagaan digesa berjumpa dengan kerajaan sekiranya pelaksanaan peluasaan skop cukai perkhidmatan (SST) ketika ini membebankan pemegang taruh atau pelanggannya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak sekiranya mereka merasakan barangan yang dikeluarkan ahli persatuan mereka patut dikecualikan daripada cukai tersebut.
“Walaupun kerajaan sedang melaksanakan peluasan ini, tidak bermakna kerajaan menutup rapat rundingan kepada mana-mana pihak.
“Itu hari kita tengok buah epal, oren dan kurma telah dikecualikan daripada SST. Jadi, kita bersedia berunding asalkan pihak tersebut boleh membawa sebab kukuh untuk kerajaan membuat pertimbangan supaya SST tidak dikenakan ke atas barangan serta perkhidmatan yang diminta mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat di Dewan Sri Jugra, di sini, hari ini.
Semalam Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan SST perlu dilaksana dengan pendekatan yang lebih fleksibel khususnya bagi barangan makanan asas.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan untuk bertemu kerajaan sekiranya menerima laporan ibu bapa berhubung kenaikan barangan peralatan persekolahan seperti pensel, buku tulis, buku teks dan lain-lain sehingga membebankan dari segi perbelanjaan persekolahan anak mereka. – KOSMO! ONLINE