fbpx

Penyertaan sulung full maraton bawa tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVANESHWARAN (tengah) menerima hadiah selaku pemenang acara full maraton daripada Patricia selepas tamat perlumbaan. - IHSAN PENGANJUR

PUTRAJAYA – Keinginan untuk beraksi di Kejohanan Maraton Vietnam Disember depan memaksa pelari negara, G. Sivaneshwaran mengambil langkah berani menyertai acara full maraton pada saingan SCORE Marathon by AIA Vitality 2025 hari ini.

Apa yang menarik, dia bukan sahaja melepasi sasaran peribadi untuk melakukan catatan masa bawah tiga jam, malah turut menjadi pelari terpantas acara 42 kilometer (km) itu menerusi catatan 2 jam 48 minit 08 saat (s).

Walaupun hanya beraksi dalam kategori terbuka tempatan, namun catatan masa dilakukan Sivaneshwaran adalah yang terpantas bagi acara full maraton, mengatasi pelari-pelari luar negara bagi kategori terbuka antarabangsa.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Siva berkata, penyertaannya dalam acara full maraton tahun ini hanyalah untuk mencatat masa bawah tiga jam dan langsung tidak meletakkan sasaran menjadi juara.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai full maraton kerana mahu melayakkan diri ke Vietnam Disember nanti. Kelab meminta saya untuk melakukan catatan bawah tiga jam jika mahu beraksi di Vietnam.

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam perlumbaan hari ini. – IHSAN PENGANJUR

“Saya fikir tidak dapat habiskan perlumbaan tetapi berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan 2 jam 48 minit selain menjadi juara. Latihan selama hampir empat bulan membuahkan hasil,” katanya.

Mengiringi Siva di kedudukan podium adalah Lim Kok Leong yang mencatat 2’51:00s untuk menamatkan saingan selaku naib juara manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Naqib Haikal dengan catatan 2’52:28s.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan menyuarakan rasa gembira atas kejayaan edisi kali ini menarik penyertaan 33,000 peserta dari 48 buah negara.

“Ini adalah kali ke-12 kita anjurkan SCORE Marathon dan berjaya menarik 33,000 peserta dengan penyertaan paling ramai dalam acara 21km. Terima kasih kepada semua peserta yang memberikan sokongan.

“Kami bercita-cita tinggi, jadi tahun depan harap dapat menarik lebih ramai peserta. Objektif kami adalah untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI