WASHINGTON – Kelibat seekor haiwan dipercayai singa gunung yang berkeliaran di bandar Rochester, New York membimbangkan pihak berkuasa tempatan dan menimbulkan panik dalam kalangan penduduk, lapor akhbar New York Post semalam.
Ngauman kuat yang bergema mengejutkan penduduk setempat apabila ia kedengaran terlalu hampir dengan kediaman mereka.
Polis Rochester menerima maklumat mengenai satu video tular di media sosial yang memaparkan kelibat haiwan itu.
Dalam masa sama, polis turut menerima banyak panggilan daripada penduduk setempat yang mendakwa bahawa mereka melihat haiwan itu berkeliaran.
Pejabat Syerif Daerah Monroe turut menyertai usaha pencarian dengan mengerahkan dron bagi meninjau kawasan dari udara, namun pencarian itu masih gagal menemui singa tersebut.
Siasatan masih diteruskan oleh Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar, namun berdasarkan analisis rakaman video, haiwan misteri itu dipercayai memiliki ciri-ciri menyerupai singa gunung.
“Kekalkan jarak selamat dan undur perlahan-lahan. Anda hanya boleh merakam gambar dari jarak selamat dan segera laporkan kepada penguatkuasa undang-undang,” kata Jabatan Alam Sekitar negeri. – AGENSI