MELAKA – Sektor kesihatan awam negeri ini terus berdepan tekanan apabila kekurangan lebih 1,000 jururawat dan kira-kira 30 Pegawai Perubatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, situasi tersebut secara langsung telah menjejaskan kelancaran operasi di hospital dan klinik kerajaan.
Katanya, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agar penyelesaian segera dapat dicapai.
“Kita telah menyuarakan kepada Menteri Kesihatan supaya Melaka diberi perhatian khusus dalam isu kekurangan jururawat dan pegawai perubatan ini.
“Keadaan sekarang menyebabkan doktor dan pakar perubatan terpaksa bekerja dalam tempoh masa panjang, kadangkala melebihi had biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan ‘Oh My Health’ di Pusat Perubatan Oriental Melaka Straits di Klebang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut mengakui isu penghijrahan doktor dan pakar ke Singapura akan menjadi satu cabaran besar kepada Kementerian Kesihatan jika tidak ditangani dengan baik.
Tambahnya, buat masa ini, Melaka tidak terlalu terkesan berbanding Johor yang bersempadan langsung dengan Singapura, namun ia akan mencetuskan kebimbangan jika ia menjadi trend. – KOSMO! ONLINE