KETUA jurulatih skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara, Mohd. Sufian Mohamad tidak mahu anak-anak buahnya memandang rendah keupayaan Bangladesh menjelang penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Asia B-18 2025 di Dazhou, China petang ini.
Menurut Sufian, Bangladesh merupakan antara yang perlu diberi perhatian disebabkan faktor kematangan barisan pemainnya yang memiliki tahap keserasian tinggi memandangkan mereka telah lama beraksi bersama.
Walaupun kecewa gagal ke final selepas tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shoot-out kepada Pakistan dalam aksi separuh akhir kelmarin, namun beliau tetap berbangga dengan semangat juang ditampilkan para pemain.
“Mungkin bukan rezeki kita dalam penentuan penalti shoot-out, tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pemain. Mereka menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi.
“Walaupun ketinggalan 0-2, mereka tidak berputus asa dan berjaya mendahului 3-2. Namun, akhirnya kita terpaksa akur dengan keputusan penalti shoot-out. Saya faham kekecewaan pemain kerana mereka telah berusaha sebaik mungkin,” ujarnya.
Tambah Sufian, persembahan skuad Young Tigers dalam perlawanan itu boleh dianggap antara yang terbaik sepanjang kejohanan.
“Dengan pelan permainan teratur dan strategi dirancang, pemain-pemain muda ini menunjukkan kebolehan dalam menilai serta mengadaptasi taktikal pasukan. Saya harap mereka akan dikekalkan untuk peringkat seterusnya.
“Saya harap mereka tidak berputus asa. Kita akan cuba bangkit dalam aksi terakhir menentang Bangladesh untuk memastikan kedudukan podium,” katanya.