PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang di Pahang, Sarawak dan Sabah malam ini.
Menurut MetMalaysia, keadaan itu dijangka berlaku di negeri Pahang membabitkan Bentong, Temerloh dan Bera.
“Manakala di Sarawak amaran dikeluarkan di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Julau dan Meradong), Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
“Di Sabah pula melibatkan Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan (Tongod dan Telupid),” katanya.
Jelas MetMalaysia, keadaan cuaca buruk itu dijangkakan berlarutan sehingga pukul 9 malam.
Tambahnya lagi, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE