WASHINGTON – Seketul batu dari Marikh seberat 25 kilogram bakal dilelong pada harga kira-kira AS$2 juta (RM8.5 juta) hingga AS$4 juta (RM17 juta), lapor porta berita Republic TV hari ini.
Batuan terbesar pernah ditemukan dari planet merah itu dikenali sebagai NWA 16788 dan ia akan dilelong di New York.
Menurut firma lelongan Sotheby’s, meteorit itu dipercayai tercampak dari Marikh akibat hentaman asteroid sebelum menempuh perjalanan 225 juta kilometer ke Bumi.
Ia ditemukan seorang pemburu meteorit di Niger pada November 2023, kata Sotheby’s.
Sebelum ini, meteorit berkenaan pernah menjadi tarikan di Agensi Angkasa Itali di Rom, namun identiti pemiliknya kekal dirahsiakan oleh pihak Sotheby’s. – AGENSI