GEORGE TOWN – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang tular selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dengan bertindak memukul sebuah kereta Perodua Myvi menggunakan sebatang rotan, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Lee Swee Sake berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam semalam di tepi jalan Persiaran Karpal Singh di sini.
“Polis turut merampas sebuah kereta dan sebatang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Suspek telah direman selama sehari hingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan polis sudahpun mengenal pasti identiti seorang lelaki selepas video kejadian itu tular dalam media sosial semalam.
Video tersebut memaparkan perbuatan seorang lelaki memukul sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai menggunakan batang besi di Jalan Lebuh Pantai di sini. -KOSMO! ONLINE