KULAI – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) memperkukuh jalinan antara pendidikan dan industri melalui pelaksanaan Smart Classroom dan Digital Classroom di enam Kampus Kolej Teknologi Termaju JTM (ADTEC JTM) terpilih.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, inisiatif ini bertujuan mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran melalui persekitaran hibrid menggunakan Learning Management System (LMS) bersepadu serta papan pintar interaktif Huawei IdeaHub.
Katanya, projek rintis proof-of-concept (POC) ini melibatkan kelas pintar di ADTEC JTM Kampus Senai, di sini serta kelas digital di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Johor Bahru, Pedas, Negeri Sembilan, Selandar, Melaka, Perai, Pulau Pinang dan Jerantut, Pahang.
“Maklum balas daripada para pengajar dan pelajar amat memberangsangkan, dan kami sangat teruja dengan tahap penglibatan yang ditunjukkan di lapangan.
“Keenam-enam lokasi model PoC bagi Smart Classroom dan Digital Classroom yang telah siap kini dibuka kepada agensi dan institusi latihan lain bagi tujuan perkongsian ilmu serta menggalakkan penerapan model ini secara lebih meluas dalam ekosistem TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pada pemberita selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Bilik Kuliah Pintar ‘Smart Classroom’ TVET di ADTEC JTM Kampus Senai, di sini hari ini.
ADTEC JTM Kampus Senai telah dikenal pasti sebagai pusat rujukan ADTEC JTM. Setakat ini, lebih 41 orang tenaga pengajar di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) telah menerima latihan yang dikendalikan oleh Huawei Malaysia. – KOSMO! ONLINE