TANJUNG MALIM – Mangsa dan waris mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas sebuah bas sewa khas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik pada 9 Jun lalu terus mendapat keprihatinan dan sumbangan pelbagai pihak.
Komuniti permotoran BMW RT North (Utara) turut bersama menyumbang RM10,400 sebagai satu soladariti kepada mangsa dan waris tragedi yang telah meragut nyawa 15 mahasiswa instisusi pendidikan itu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, sumbangan itu amat bermakna dan mencerminkan semangat solidariti yang merentas komuniti.
“Sebagai satu bentuk sokongan terhadap mangsa dan keluarga yang terkesan akibat tragedi tersebut.
“Ini selari dengan aspirasi UPSI membentuk mahasiswa berdaya kepimpinan, berempati dan cakna terhadap isu masyarakat melalui penglibatan langsung dalam program berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya kepada pemberita di Dataran Cemerlang Bersama, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menerima sumbangan berbentuk cek cura yang disampaikan oleh Presiden BMW RT North (Utara), Ku Rashidi Wan Teh bersama sekumpulan ahli kelab permotoran itu. – KOSMO! ONLINE