KOTA BHARU – Pengurusan Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) diberikan masa dua hari untuk memberi kata putus sama ada bersetuju atau tidak dengan syarat dikemukakan hampir 20 bekas pemain dan jurulatih bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang berlarutan sejak Februari lalu.
Bekas jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN FC), Rezal Zambery Yahya berkata, beliau bersama bekas pemain dan jurulatih terbabit bersepakat menolak tawaran pihak pengurusan Kelantan TRW melalui beberapa siri perbincangan sebelum ini kerana dianggap tidak profesional dan berat sebelah.
Menurutnya, sebelum ini bekas-bekas pemain serta kakitangan pengurusan KDN FC ditawarkan tiga pilihan penyelesaian gaji tertunggak iaitu, potongan 50 peratus daripada sebulan gaji, bayaran secara ansuran RM200 sehingga langsai hutang dan bayaran RM500 atau RM1,000 bagi setiap perlawanan melibatkan gaji tertunggak.
“Kami ini bukan penapis air nak bayar RM200 secara bulanan sehingga habis hutang. Kemudian mahu bayar ikut perlawanan pula sedangkan tiada mana-mana kontrak membolehkan cara pembayaran tersebut. Tetapi kami masih ada toleransi dengan pihak pengurusan dan ada cadangan-cadangan telah diberikan kepada mereka bagi menyelesaikan masalah ini.
“Kini terpulang kepada mereka untuk menilai perkara ini secara waras atau jika masih bertegas dengan tawaran mereka, bagi kami lebih baik ia diserahkan kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tawaran yang mereka berikan langsung tidak masuk akal,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata. kesemua yang terlibat telah membuat aduan rasmi kepada FAM mengenai perkara ini tetapi sanggup menangguhkan langkah membawanya ke Jawatankuasa Status bagi memberi ruang untuk perbincangan hari ini.
“Kita tidak mahu memanjangkan lagi masalah ini. Kalau mereka tidak setuju kita terus ke Jawatankuasa Status. Kita juga harap FAM melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius dan mempercepatkan prosiding,” katanya. – KOSMO! ONLINE