fbpx

JDT kekal tanpa kalah, seri bertemu kelab La liga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain warisan baharu JDT, Nacho Mendez membuat penampilan pertama bersama Harimau Selatan awal pagi tadi. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah luar biasa apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan pramusim selepas mengikat pasukan La Liga, Levante 0-0 di Pusat Latihan Levante, awal pagi tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz itu berjaya mempamerkan aksi bertenaga sekali gus memberi bayangan kualiti hampir setara dengan pasukan Levante yang gah menjuarai Liga Divisyen 2 Sepanyol musim lalu.

Lebih menarik, Xisco telah menurunkan pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi dalam kesebelasan utama selain memberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten ketika bertemu pasukan Sepanyol itu.

Tiga pemain warisan negara yang baru menyertai JDT awal bulan ini seperti Hector Hevel, Jon Irazabal serta Joao Figueirido turut diletakkan dalam kesebelasan utama.

Sebagai rekod, ini adalah keputusan seri kedua berturut-turut dilakar skuad Harimau Selatan selepas turut berjaya mengikat pasukan Liga EFL 1, Cardiff City dengan keputusan seri 2-2 pada Khamis lepas.

Dua perlawanan pertama bagi pramusim mereka di Sepanyol menyaksikan mereka menewaskan Real Murcia Imperial 4-0 disusuli menang 1-0 ke atas kelab yang berpangkalan di Elche, Costa City.

Selepas ini, mereka akan menentang satu lagi pasukan dari Sepanyol iaitu pasukan feeder Valencia Mestalla kepada kelab gergasi La Liga, Valencia pada 14 Julai nanti.

Juara Piala Malaysia itu kemudian akan berdepan tiga pasukan dari Asia Barat, Al Rayyan SC (16 Julai), Al Arabi SC (19 Julai) sebelum mengakhiri kempen pramusim di luar negara menentang Riyadh SC pada 21 Julai.

Kemudian, JDT akan fokus mengharungi aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) menentang Selangor FC (SFC) pada merebut trofi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI