JOHOR BAHRU – Keadaan kru helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Khamis lalu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Amanah (HSA) di sini dilaporkan stabil.
Timbalan Pengarah Hospital II, HSA, Dr. C. Mitesh bagaimanapun berkata, Konstabel R.G Devendran masih ditidurkan dan memerlukan bantuan pernafasan.
Menurutnya, manakala Koperal Adeline Liu Yan Siu pula dipantau rapi pasukan perubatan.
“Tiga mangsa yang cedera dan stabil dirawat di dalam wad biasa juga masih dalam pemerhatian termasuk doktor pakar ortopedik kerana ada yang cedera-cedera dan perlu rawatan rapi yang lain.
“Jadi, kalau dilihatkan, kelima-lima (mangsa) stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi HSA di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi, Khamis lalu, dua pegawai dan tiga anggota polis dikejarkan ke HSA selepas helikopter dinaiki mereka terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini.
Insiden itu berlaku ketika helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan lintas hormat Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Akibat kemalangan itu, dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran dilaporkan kritikal.
Juruterbang Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut cedera. – KOSMO! ONLINE