SINGAPURA – Seorang penduduk berasal dari China yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura kini bekerja sebagai penghantar makanan di negara itu, lapor laman berita Asia One.
Ding Yuanzhao, 39, turut memiliki ijazah sarjana dari Universiti Oxford, Britain.
Namun, dia menjadi penghantar makanan selepas gagal dalam 10 temu duga kerja.
Yuanzhao mula bekerja sebagai penghantar makanan di Singapura dengan memperoleh pendapatan kira-kira SG$700 (RM2,300) seminggu dengan bekerja sekitar 10 jam setiap hari.
“Ia adalah pekerjaan yang stabil. Saya boleh menyara keluarga dengan pendapatan ini.
“Jika anda bekerja keras, anda boleh mencari rezeki yang lumayan. Ia bukan pekerjaan yang teruk,” tulisnya.
Lelaki berasal dari wilayah Fujian itu berkata dalam catatan akaun WeChat pada April tahun lalu bahawa dia pernah bekerja dalam penyelidikan pasca doktoral di Universiti Kebangsaan Singapura, di mana kontraknya berakhir pada Mac tahun lalu.
Menurut Yuanzhao, walaupun dia telah menghantar banyak resume dan menghadiri lebih 10 temu duga, dia masih tidak dapat mendapat pekerjaan yang sesuai.- AGENSI