NEW JERSEY – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memberi amaran kepada barisan pemainnya bahawa Chelsea adalah cabaran terbesar buat pasukan menjelang aksi final Piala Dunia Kelab pada awal pagi esok.
Sebelum ini, ramai beranggapan pasukan PSG seperti sudah meletakkan sebelah tangan untuk menjulang trofi itu selepas berjaya menewaskan Real Madrid 4-0 dalam aksi separuh akhir sebelum ini.
Namun, Enrique menegaskan skuad The Blues kendalian Enzo Maresca memiliki kualiti tersendiri dan mungkin menjadi kelab terbaik yang bakal mereka hadapi sepanjang musim ini.
“Sudah tentu kita mahu melakar sejarah dan saya rasa kita tidak akan menang dengan mudah. Pasukan yang bakal kita hadapi di pentas final nanti adalah Chelsea yang saya anggap cukup hebat di bawah bimbingan Maresca.
“Mereka adalah pasukan yang sempurna dan memiliki taktikal yang menarik selain keupayaan individu yang berbakat. Corak mereka sama seperti kami dan turut bergantung dengan kekuatan fizikal pemain.
“Berbekalkan status selaku juara Liga Konferens Eropah dan kejayaan meraih kedudukan keempat di peringkat liga, Chelsea wajar dilabel pasukan gergasi dan kita tidak akan selesa sepanjang 90 minit,” katanya.
Sebagai rekod, PSG kini berharap menjadi pasukan terbaik dalam sejarah kelab bola sepak dunia selepas menjulang empat trofi pada tahun ini dan bakal meraih trofi kelima jika menang Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife nanti.
Mengulas lanjut, Enrique menganggap ini adalah musim terbaik dalam kariernya sebagai jurulatih kerana memiliki pasukan yang langsung tidak mementingkan diri dan mendengar setiap arahan yang diberikan.
“Saya rasa ini adalah peluang untuk pemain melakar sejarah baharu dalam karier mereka dan semua orang cukup bersemangat. Tidak keterlaluan untuk saya katakan ini adalah musim terbaik saya sebagai jurulatih.
“Barisan pemain juga tidak menganggap mereka sebagai bintang dan situasi ini memudahkan saya untuk mengatur strategi terbaik pada setiap perlawanan,” katanya. – AGENSI