fbpx

CWC: Chelsea enggan dibelasah seperti Real, Inter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEDRO (kiri) menjadi sandaran terbaik Chelsea untuk menggempur gawang PSG dalam aksi final awal pagi esok. - AFP

NEW JERSEY – Tiada jalan mudah buat juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) menjelang perlawanan akhir Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 menentang Chelsea di Stadium MetLife awal pagi esok.

Amaran itu dilaungkan pemain pertahanan The Blues, Levi Colwill yang memberi jaminan dia dan rakan sepasukan akan memberikan segala-galanya bagi melakar kejutan ke atas pasukan pilihan tersebut.

Meskipun PSG dilabelkan sebagai pasukan yang memiliki jentera serangan berbahaya, namun ia langsung tidak menghadirkan gerun buat The Blues apabila Colwill menganggap mereka tidak seperti pasukan-pasukan lain.

Dia berkata, Chelsea yang merupakan juara Liga Konferens Europa sedia untuk menutup mulut beberapa pihak yang mendakwa pasukan itu akan berdepan kekalahan memalukan, sama seperti dialami Real Madrid sebelum ini.

“Memang benar PSG merupakan pasukan yang sangat hebat tetapi kami bukanlah Inter Milan atau Real Madrid. Kami akan memberikan sesuatu yang lebih berbeza kepada mereka pada perlawanan akhir nanti.

“Setiap pemain dalam pasukan Chelsea memiliki karakter juara selain sentiasa percaya kepada kemampuan diri. Saya harap kami boleh menang dan buktikan kepada semua orang yang ragu dengan kami,” katanya.

PSG dianggap sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi kejuaraan selepas membelasah Real 4-0 di separuh akhir selain pernah menewaskan Inter 5-0 pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Jun lalu.

Sementara itu, Colwill juga menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan penggempur baharu, Joao Pedro untuk merobek pintu gol PSG selepas dia meledak dua gol membantu Chelsea menewaskan Fluminense 2-0 di separuh akhir.

“Dia adalah seorangan pemain dan penyerang yang hebat. Saya tahu apa yang dia mampu lakukan kerana sering melihat aksinya ketika bersama Brighton dan dia juga menjadi buah mulut orang sejak berada di Watford lagi,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI