PETALING JAYA – Dikaitkan dengan satu ajaran sesat, pengarah Erma Fatima meluahkan perasaan terkilan namanya ‘dipetik’ hanya disebabkan pernah menerbitkan naskhah Bidaah yang berkisar cerita sedemikian.
Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, menegaskan tidak pernah terbabit dengan perhimpunan motivasi bercakap tentang masalah hubungan suami isteri seperti didakwa seorang individu dalam laman sosial.
“Saya tak pernah terbabit. Saya kenal dia pun kerana dia pakar motivasi dan ketika itu nak buat program motivasi tapi tak jadi sebab dua-dua sibuk.
“Saya tak berurusan dengan dia. Jangan fitnah. Suami dia pun saya tak kenal. Asal fasal ajaran sesat sahaja, nak kaitkan dengan saya. Mentang-mentanglah saya buat cerita Bidaah,” katanya.
Buat masa ini, difahamkan Erma sedang berada di New Zealand sejak minggu lalu bagi menjalani penggambaran sebuah telefilem bawah syarikat produksi miliknya.
Sebelum ini, seorang individu memuat naik gambar lama Erma bersama pakar motivasi terbabit seterusnya mengaitkan Bidaah dengan ajaran dimaksudkan.
Terdahulu, kecoh di laman sosial apabila beberapa individu mendedahkan satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga kendalian sepasang suami isteri didakwa menyimpang daripada hukum syariah Islam.
Program dengan peserta rata-rata terdiri daripada wanita yang berhadapan krisis rumah tangga tersebut dikatakan terlalu taksub sehingga kaedah dilakukan dikaitkan dengan ajaran sesat
Perkara tersebut turut dikongsikan aktivis kemasyarakatan, Caprice yang meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap aktiviti pasangan terbabit.
Laporan Kosmo! juga menyebut penganjuran eHATI di sebuah pusat konvensyen pada tahun lalu kembali mencetuskan kontroversi hangat disifatkan sebagai program motivasi rumah tangga ‘terlampau’ yang melanggar syariat Islam.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, perbuatan yang dilakukan dalam program itu dianggap keterlaluan, memalukan dan mencemarkan imej baik agama Islam. – KOSMO! ONLINE