PETALING JAYA – Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han, berdepan insiden tayar kereta bocor ketika dalam perjalanan ke Melaka hari ini.
Menurut beliau, bagi memastikan keselamatan, mereka memperlahankan kenderaan dan keluar dari lebuh raya untuk menukar tayar secara manual bersama pemandunya.
“Dalam cuaca panas terik, kami berdua menukar tayar dengan harapan tidak terlalu lewat tiba ke destinasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Keadaan tersebut menjadi lebih mudah apabila seorang anggota polis trafik tampil memberikan bantuan, sesuatu yang amat dihargainya.
“Syukur tayar berjaya diganti dan kami meneruskan perjalanan. Terima kasih kepada anggota polis yang sudi membantu,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan rasa terharu dengan tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti bahawa slogan ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’ bukan sekadar ungkapan, tetapi realiti dalam kehidupan seharian. – KOSMO! ONLINE