KOTA TINGGI – Pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses itu memerlukan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Katanya, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bukan satu peruntukan undang-undang yang mengikat dalam menentukan pelantikan hakim.
“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur (cadang) nama-nama calon, tetapi ia bukan akta finalisation (yang mengikat). Cadangan itu tidak mengikat.
“Nama-nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Kalau niat mahu proses JAC itu mengikat, maka Perlembagaan perlu dipinda,” katanya pada sidang media ketika hadir Mesyuarat Agong UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azalina dalam ucapannya berkata, Majlis Peguam Malaysia mempunyai hak dan tidak boleh dihalang untuk berarak berhubung badan kehakiman yang dijadual diadakan esok.
Katanya, semua pihak mempunyai hak berhimpun atau berarak mengikut peruntukan yang dibenarkan Perlembagaan.-KOSMO! ONLINE