KUALA LUMPUR – “Kami ‘delulu’ (berdelusi) sampai jadi.”
Demikian luahan penuh emosi oleh anggota kumpulan Insomniacks selepas menamatkan konsert solo pertama mereka, Insomniacks: Echoes Of A Dream, yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.
Memahat nama sejak sedekad lalu, konsert yang dihadiri seramai 2,400 penonton itu menyaksikan Syed Mir Iqbal atau Iqie (vokalis), Wan Arif Iskandar (bass) dan Danial Lee Hashim (gitar) dihanyutkan emosi, tidak dapat menahan air mata melihat kemunculan ibu bapa mereka dalam video khas yang ditayangkan semasa konsert berlangsung.
“Sebenarnya kami tak tahu ada video itu. Bila ibu bapa kami muncul, terus jatuh air mata. Kami hanya bermimpi dari dulu dan tak pasti sama ada mimpi itu akan tercapai. Tapi malam ini, kami berjaya buktikannya.
“Satu perkara yang luar biasa kerana sejak dulu kami hanya bermimpi, dan ketika itu pun belum pasti sama ada mimpi itu akan tercapai atau tidak. Jadi apabila kami berjaya mencapainya selepas 10 tahun, ia adalah sesuatu yang sangat hebat dan berbaloi, terutama apabila dapat membuktikan kepada keluarga bahawa kami mampu sampai ke tahap ini,” kata Iqie ketika ditemui selepas konsert sulung kumpulan pemuzik tempatan itu di Zepp Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Danial atau mesra dipanggil Dan, saat paling getir buat mereka ialah ketika negara dilanda pandemik Covid-19 apabila kehilangan punca pendapatan dan peluang persembahan memberi tekanan hebat kepada mereka yang hanya bergantung pada muzik sebagai mata pencarian.
“Momen paling sukar buat kami adalah ketika negara dilanda Covid-19. Waktu itu memang sangat mencabar kerana punca rezeki kami bergantung sepenuhnya kepada persembahan di pentas. Tapi alhamdulillah, sekarang semuanya semakin baik. Dapat capai impian yang kami kejar selama ini, rasa sangat bersyukur.
“Kami bertiga sudah melalui titik terendah bersama dengan sokongan keluarga. Kepercayaan tanpa ragu terhadap diri sendiri menjadi sumber kekuatan untuk kami terus melangkah,” ujarnya.
Mewakili Insomniacks, Wan Arif Iskandar atau lebih dikenali sebagai Isk menyuarakan hasrat mendalam kumpulan itu untuk terus berkarya hingga ke akhir hayat.
“Kami bermula dengan angan-angan sahaja, ‘delulu’ kata orang, tapi akhirnya menjadi realiti.
“Kami akan teruskan perjalanan ini bersama-sama untuk 20, 30, 40 tahun lagi, sampai mati,” tambahnya.
Konsert pertama Insomniacks menyaksikan anggota kumpulan itu mempersembahkan 21 buah lagu, termasuk lagu-lagu hits seperti Pulang, Sempurna, Igauan Malam, serta karya terbaharu berjudul Seperti Dulu.
Persembahan turut diserikan dengan kolaborasi istimewa bersama penyanyi Indonesia, Nabila Taqiyyah menerusi lagu Belum Mulai, serta penampilan Nabila Razali, Killa Driz dan Arif Kamaruddin.
Dalam pada itu, tiket konsert di Kuala Lumpur sebelum ini habis dijual dalam tempoh hanya empat jam, dan fenomena sama turut berlaku untuk konsert mereka di Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 16 Ogos depan. -KOSMO! ONLINE