VALENCIA – Pengurus Valencia, Carlos Corberan dilaporkan bersedia memberi peluang kepada bekas penyerang Leicester City, Jamie Vardy untuk menamatkan kariernya dengan penuh bergaya di La Liga.
Pemain berusia 38 tahun yang meninggalkan Leicester selepas 13 tahun penuh gemilang dengan rekod 200 gol, kini sedang menilai beberapa tawaran bagi meneruskan kariernya, termasuk dari Valencia yang serius mahu mendapatkan khidmatnya.
Menurut laporan, Corberan sudah memulakan perbincangan bersama pengarah teknikal kelab berhubung potensi membawa masuk Vardy ke Mestalla.
Jurulatih dari Sepanyol itu dilaporkan cukup mengenali kemampuan Vardy ketika berada di England dan percaya penyerang veteran itu masih memiliki sentuhan baik di hadapan gawang untuk membantu jentera serangan Valencia.
Bagaimanapun, antara isu utama yang menjadi penghalang adalah kemampuan kewangan kelab untuk memenuhi tuntutan gaji Vardy.
Nama Vardy turut dikaitkan dengan Rangers, tetapi gaya permainan agresif pengendali Russell Martin yang banyak menekan dari hadapan dianggap kurang sesuai untuk pemain yang semakin dimamah usia itu.
Sementara itu, pendatang baharu Liga Kejuaraan, Wrexham juga kini memberi tumpuan kepada beberapa pemain daripada EPL ketika mereka sedang merancang langkah besar yang seterusnya.
Genoa dari Serie A turut dikaitkan dengan perpindahan Vardy, namun setakat ini hanya Valencia menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan England itu. – AGENSI