SAINT-MALO, PERANCIS – Juara bertahan, Tadej Pogacar kembali menyarung jersi kuning selepas menewaskan pencabar utama dari Visma–Lease a Bike, Jonas Vingegaard untuk menjuarai peringkat ketujuh Tour de France (TdF) 2025 awal pagi tadi.
Pelumba Slovenia itu mencatat kemenangan keduanya dalam edisi kali ini bersama pasukan UAE Team Emirates apabila menamatkan kayuhan sejauh 197 kilometer (km) dari Saint-Malo ke Mur-de-Bretagne, Perancis dengan pecutan bertenaga di puncak pendakian.
Ia membolehkan juara tiga kali TdF itu merampas kembali jersi kuning sebelum ini disarung pelumba Belanda, Mathieu van der Poel yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 dan jatuh ke kedudukan kelima keseluruhan.
Strategi bijak Pogacar melakukan serangan 2km sebelum penamat, berjaya memisahkan diri daripada Evenepoel dan Vingegaard untuk mencipta kemenangan.
Dalam baki 6km terakhir, kemalangan kecil di belakang peloton melibatkan beberapa pelumba termasuk rakan sepasukan Pogacar, Joao Almeida serta pemenang peringkat keenam, Ben Healy.
“Saya amat gembira hari ini. Kami hampir sempurna, cuma Joao (Almeida) terlibat dalam kemalangan dan saya harap dia tidak mengalami kecederaan serius.
“Jika dia okey, maka ini hari yang sempurna buat pasukan. Jika tidak, kemenangan ini saya tujukan khas untuknya,” kata Pogacar.
Van der Poel sebelum ini pernah mencipta kenangan manis apabila memenangi peringkat sama pada 2021, namun kali ini terpaksa akur tidak mampu mengikut rentak pendakian curam menuju garisan penamat.
“Saya tahu akan kehilangan jersi hari ini, jadi saya hanya mahu menikmatinya sepenuhnya,” katanya selepas perlumbaan. – AGENSI