fbpx

‘Takkan nak bersolek, biarlah dia jadi budak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARIMAH terkilan penambilan puteri kesayangannya menjadi bahan ejekan segelintir pihak yang tidak berhati perut.

PETALING JAYA – Meskipun belum mencecah usia enam tahun, pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim mendedahkan anak perempuannya, Tunku Sofia Najihah sudah mula menjadi mangsa buli dan ejekan fizikal.

Sarimah, 47, berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengkritik penampilan anak kecilnya hanya kerana rambut tidak lurus dan berkaca mata.

“Sekarang orang dah mula buli dan mengejek fizikal anak saya.

“Umur pun belum sampai enam tahun, tapi dah ada yang komen tentang rambut dan penampilan dia,” katanya dalam audio siar, Kita Kita Aje.

Tambah pelakon drama Lelaki Itu itu, sebagai ibu, dia sentiasa memainkan peranan penting dalam membina keyakinan anaknya, termasuk memberikan kata-kata positif supaya tidak terkesan dengan cercaan.

Paling penting kata Sarimah, dia tidak akan pernah memaksa anaknya untuk kelihatan matang sebelum waktunya semata-mata ingin memenuhi pandangan umum terhadap kecantikan.

“Saya yang kena beritahu dia untuk abaikan apa orang cakap dan yakinkan dia dengan kata-kata, ‘you are you’.

“Penampilan itu sementara. Sebab mereka budak-budak dan akan berubah. Itulah zaman kanak-kanak.

“Takkanlah saya nak solek dia dan suruh dia membesar terlalu cepat. Dia budak, biarlah dia jadi budak,” tegasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pendirian selebriti serba boleh itu yang tidak menormalisasikan kecantikan dewasa terhadap kanak-kanak.

“Sokong sangat apa Sarimah cakap. Kita ibu-ibu tak nak anak jadi orang dewasa sebelum waktunya,” tulis seorang pengguna TikTok.

“Anak saya pun pernah kena ejek sebab gigi jongang. Hati ibu mana yang tak sedih,” luah seorang netizen lain.

“Cermin mata ke, rambut kembang ke, budak tetap budak. Biarlah mereka rasa bahagia dengan zaman kecil mereka,” komen seorang lagi peminat.

Untuk rekod, Che Puan Sarimah mendirikan rumah tangga bersama kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar pada 2015.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang puteri, Tunku Sofia Najihah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI