LONDON – Tottenham Hotspur meneruskan pembelian agresif apabila bersetuju membayar klausa pelepasan bernilai £60 juta (RM346.60 juta) untuk mendapatkan Morgan Gibbs-White dari Nottingham Forest.
Pemain tengah England itu dijangka menjalani ujian perubatan dalam masa terdekat selepas mencatat tujuh gol dan 11 bantuan jaringan musim lalu yang membantu Forest layak ke saingan Eropah.
Langkah itu hadir sehari selepas Spurs melengkapkan rundingan bernilai £55 juta (RM317.72 juta) bersama West Ham United membawa masuk Mohammed Kudus sekali gus menjadikan dua pembelian pertama era Thomas Frank mencecah kos £115 juta (RM664.32 juta).
“Ini permulaan yang cukup besar buat Frank kerana beliau memang peminat Gibbs-White sejak di Brentford lagi. Gibbs-White menyerlah bersama Forest dan Kudus pula jelas sangat menarik.
“Frank juga pernah sebut, kelab bola sepak perlu ada persekitaran yang betul dan setakat ini semua berjalan baik,” kata penganalisis bola sepak Eropah, Michael Bridge.
Spurs sebelum ini bersaing dengan Manchester City untuk mendapatkan Gibbs-White, namun Pep Guardiola lebih tertarik kepada Tijjani Reijnders dari AC Milan dan pemain tengah Manchester City, Rayan Cherki.
Kehilangan Gibbs-White memberi tamparan hebat buat Forest yang turut bersedia melepaskan seorang lagi tonggak, Anthony Elanga ke Newcastle dengan nilai perpindahan mencecah £55 juta (RM317.72 juta).
Dalam masa sama, masa depan bek tengah Spurs, Cristian Romero terus menjadi tanda tanya selepas dikaitkan berhijrah ke Atletico Madrid, namun sumber dalaman kelab memaklumkan hanya tawaran luar biasa mampu menggugat kedudukan pemain itu di London. – AGENSI