BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah sedia membuktikan pelaburan dibuat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke atas mereka berbaloi menjelang beberapa kejohanan penting yang akan datang.
Selepas menandatangani kontrak baharu hingga 2028, Thinaah mengakui lega kerana kemelut tersebut berlarutan lebih enam bulan selepas kontrak sedia ada tamat sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, dia dan Pearly kini boleh memberikan sepenuh tumpuan kepada tiga kejohanan penting bermula Terbuka Jepun minggu depan, diikuti Terbuka China dan kejohanan Dunia bulan depan.
“Kami benar-benar lega kerana semuanya sudah mencapai persetujuan. Sekarang kami perlu pandang ke depan. Terima kasih kepada presiden kerana sentiasa memberikan sokongan dan faham dengan keadaan kami.
“Sekarang kami sudah boleh memberikan fokus kepada badminton dan kekalkan prestasi dalam semua kejohanan. Memang dari dulu lagi kami cuba dapatkan pingat di kejohanan utama dan kami akan terus berikan yang terbaik dalam latihan,” katanya.
Kelmarin, kemelut kontrak Pearly-Thinaah akhirnya menemui penamat selepas mereka bersetuju menandatangani kontrak baharu bersama BAM yang menyaksikan kekal hingga 2028.
Thinaah, 27, mendedahkan rundingan kontrak baharu itu memakan masa lama lebih enam bulan disebabkan jadual padat yang dihadapi mereka.
“Bukan salah mana-mana pihak apabila isu kontrak ini berlarutan kerana ia disebabkan jadual kami yang terlalu padat. Kami terpaksa berdepan banyak kejohanan yang berturut-turut,” ujar Thinaah.
Terdahulu, tercetus spekulasi kedua-dua pemain itu akan menerima gaji RM1 juta setahun setiap seorang menerusi kontrak baharu tersebut, namun mereka enggan mengesahkan laporan berkenaan.