PETALING JAYA – Rakan sepasukan jaguh pecut negara, Muhammd Azeem Fahmi di Universiti Auburn, Makanakaishe Charamba mencipta sensasi meraih tempat ketiga acara 200 meter (m) Liga Berlian Monaco awal pagi tadi.
Lebih mengagumkan, Charamba, 23, tewas kepada dua pelari pecut elit dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu Noah Lyles dari Amerika Syarikat (AS) dan Letsile Tebogo (Botswana).
Dalam pertarungan penuh mendebarkan di Stade Louis II itu, Charamba mewakili Zimbabwe mencetak masa 19.99 saat (s), 0.02s di belakang Tebogo yang meraih tempat kedua menerusi catatan 9.97s.

Lyles yang menjuarai 100m Olimpik Paris, memenanginya dengan catatan 19.88s sekali gus menebus kekecewaannya tewas kepada Tebogo sewaktu perlumbaan akhir 200m temasya berprestij dunia berkenaan di Perancis tahun lalu.
Kejayaan Charamba tentunya mampu menyuntik semangat dan motivasi tambahan buat Azeem yang akan bersaing di pentas Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman dari 17 hingga 27 Julai ini.
Sebagai rekod, Azeem dan Charamba pernah menempa pencapaian hebat dengan memastikan kuartet 4x100m Auburn bersama Kanyinsola Ajayi serta Dario Matau mempertahankan gelaran NCAA di Amerika Syarikat bulan lalu.

Perkembangan ditunjukkan pelari-pelari Universiti Auburn terutama Charamba pastinya diharap mampu diulangi oleh Azeem di pentas WUG 2025 nanti.
Azeem tidak meletak sasaran tinggi dengan objektif utamanya untuk melakukan catatan tahunan terbaik dan jika segalanya berjalan lancar, tidak mustahil mampu memecehkan rekod 100m kebangsaan miliknya 10.09s. – KOSMO! ONLINE